Friday 31 October 2014

Keperibadian Daie dan Tugas Utama



Da’wah adalah tugas yang sangat mulia kerana ianya adalah tugas para anbiya dan mursalin. Ianya adalah amalan yang sangat penting untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Siapakah Daie?

Daie yang mengajak kepada agama Allah ialah setiap individu Muslim sama ada lelaki atau perempuan yang melaksanakan tugas anbiya a.s mengajak manusia supaya mengikut agama Allah di dalam kehidupan di atas dunia ini. Daie yang pertama bagi umat ini ialah Nabi Muhammad s.a.w. sebagaimana firman Allah:


لِّكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا هُمْ نَاسِكُوهُ فَلَا يُنَازِعُنَّكَ فِي الْأَمْرِ وَادْعُ إِلَىٰ رَبِّكَ إِنَّكَ لَعَلَىٰ هُدًى مُّسْتَقِيمٍ


“Dan ajaklah manusia kepada Tuhan kamu sesungguhnya kamu pasti berada di atas petunjuk jalan yang lurus.” (al-Hajj:67)



Kenapa Mesti Berda’wah?

Kerana ganjarannya sangat besar. Firman Allah:


وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ


“Dan siapakah yang lebih baik kata-katanya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan amal soleh dan dia berkata sesungguhnya aku adalah daripada orang Islam.”
(Fussilat: 33)

Di dalam hadith juga disebut pahala penda’wah sama seperti orang yang mengikutnya. Sabda Nabi S.A.W;


مَنْ سَنَّ سُنَّةَ خَيْرٍ فَاتُّبِعَ عَلَيْهَا فَلَهُ أَجْرُهُ وَمِثْلُ أُجُورِ مَنِ اتَّبَعَهُ غَيْرَ مَنْقُوصٍ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا


“Sesiapa yang menunjukkan kebaikan maka baginya pahala seperti orang yang menuruti (melakukan), tidak dikurangi pahala ganjarannya sedikitpun.” (Riwayat al-Tirmizi)




Tugas berda’wah adalah untuk menyahut seruan Nabi S.A.W; 


بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً

“Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat.” (Riwayat al-Bukhari)




Pada penda’wah yang ikhlas menyatakan kebenaran, supaya manusia mendengar kebenaran terlepas daripada bebanan di hadapan Allah kerana usaha dan keringat mereka mengislah masyarakat. Mereka mendapat kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

Apakah Kelengkapan Para Daie?

Seorang Daie sekurang-kurangnya mestilah melengkapkan dirinya dengan perkara-perkara berikut:

Pertama: Kefahaman Yang Terperinci
Seorang Daie wajib mempunyai kefahaman yang terperinci dan menyeluruh kepada tajuk da’wah iaitu Islam yang mahu diseru manusia kepadanya. Ulama meletakkan satu kaedah yang sangat menarik;
فاقد الشيء لا يعطيه

“Seseorang yang tidak memiliki sesuatu tidak dapat memberikannya kepada orang lain.”



Di atas dasar ini bagaimana seorang Daie mahu menerangkan tentang Islam jika sekiranya dia sendiri tidak memahaminya.

Kedua: Keimanan Yang Mendalam

Seorang Daie mestilah meyakini bahawa Islam yang diserunya adalah agama dan petunjuk Allah yang benar yang tidak ada selain daripadanya. Sama ada dalam perkara yang berkait dengan aqidah, syariah ataupun akhlak dan moral. Dia mestilah meyakini bahawa Islamlah satu-satunya agama yang boleh menyelamat dan menyelesaikan segala masalaah yang berlaku di dalam masyarakat manusia daripada dahulu, kini dan sehinggalah dunia ini ditamatkan oleh Allah.

Ketiga: Hubungan Yang Erat

Seorang Daie mestilah mempunyai hubungan yang erat dengan Allah kerana Dialah sahaja tempat bergantung dan memohon pertolongan dan Dialah sahaja yang boleh membuka pintu hati manusia untuk menerima ugamaNya. Seorang Daie hanya berusaha untuk menyampaikan agama Allah adapun yang memberikan hidayah adalah Allah.

Keperibadian Daie

Seorang Daie mestilah mempunyai keperibadian Islam yang sejati yang diterangkan di dalam Al-Quran dan diperincikan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam Sunnahnya. Sekurang-kurangnya seorang Daie itu mestilah mempunyai akhlak seperti berikut: 

  • Benar 
  • Sabar 
  • Rahmat 
  • Merendah diri 

Keutamaan Da’wah di Zaman Kini


Zaman sekarang ini sangat mencabar kepada Daie kerana pertembungan antara Islam dan Kufur semakin getir. Di zaman Islam tidak mempunyai kerajaan dan pemerintahan; maka di sana terdapat beberapa aspek yang mesti diberikan keutamaan oleh Daie di dalam medan da’wah pada zaman sekarang, antaranya ialah: 
  • Memperbetulkan aqidah 
  • Memberikan kefahaman yang betul dan tepat berkenaan dengan ajaran Islam 
  • Menjawab syubhah dan kekeliruan terhadap Islam 
  • Bicara dengan mad’u mengikut tahap pemikirannya 
  • Menilai fiqh awlawiyyaat dan fiqh muwazanah 

Penutup

Demikian ulasan serba ringkas kepada tajuk yang sangat penting ini. Mudah-mudahan ianya memberikan manfaat kepada kita bersama. 

penulis : Ustaz Muhammad Khalil bin Abdul Hadi 


No comments:

Copyright 2013. All Right Reserved by Izzah Kamaruddin.